Selamat Datang

Dialu-alukan memberi komen terhadap artikel di sini. Marilah kita bersama-sama memajukan agama, negara dan bangsa! Selamat membaca. :)

Jumaat, 16 Mac 2012

MASALAH INTEGRITI DI MALAYSIA



Definisi Integriti
Integriti boleh dibincangkan kepada dua bahagian iaitu, pertama bersabit dengan individu; kedua integriti di peringkat organisasi. Namun begitu, pada umumnya integriti merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud di kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi.
Bagi kalangan individu, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Pada peringkat organisasi pula, integrity boleh  tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.

Isu-isu yang berkait dengan integriti
Kelewatan dan ketidakcekapan, kecuaian, sikap sambil lewa dalam perkhidmatan, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, penipuan rasuah.

Faktor yang menyebabkan tercetusnya masalah integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia
Salah satu penyebab berlakunya masalah ini ialah akibat amalan tidak berintegriti sendiri seperti memberi dan menerima rasuah.  Sikap ini telah  menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli masyarakat di negara ini. Masyarakat Malaysia pada masa kini juga takut membuat laporan dan takut pada tindakan balas. Hal ini lah yang menyebabkan jumlah kes salah laku semakin meningkat dan menjadaai sukar untuk dibendung.Kita boleh mengambil contoh melalui situasi ini:
Seorang penjawat awam mahupun swasta menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses yang melibatkan kepentingan umum. Rasuah untuk mendapatkan tender, rasuah untuk memotong barisan, rasuah untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi.
Hal ini berlaku adalah akibat kelemahan Individu itu sendiri akibat daripada kurangnya nilai integriti di dalam diri individu tersebut. Mungkin alasan bagi kurangnya pendidikan boleh menjadi salah satu faktor utama bagi masalah ini. Namun begitu, pada masa kini, tahap pendidikan tidaklah menjamin nilai integriti yang dimiliki oleh seseorang itu. Sebaliknya, penghayatan nilai- nilai murni yang akan menentukan tahap nilai integriti seseorang itu kerana melalui penghayatan nilai- nilai murni seseorang individu itu akan belajar membuat pertimbangan untuk membezakan baik buruk sesuatu perkara itu.
Sikap tamak dan ego juga merupakan salah satu penyebab masalah ini bagi seseorang individu. Dengan wujudnya sikap tamak, seseorang itu akan hilang pertimbangan dalam mencari cara untuk mendapatkan kekayaan. Mungkin alasan mengenai tekanan ekonomi boleh digunakan untuk membela diri bagi tuduhan terhadap ketamakan, tetapi haruslah diingat bahawa masih banyak cara lain yang boleh digunakan selain menyalahi undang- undang demi mengurangkan tekanan ekonomi khusus bagi kehidupan seseorang individu itu. Sikap keegoan pula mnyebabkan seseorang itu buta terhadap kelemahan diri sendiri dan sukar untuk menerima teguran. Hal ini secara tidak langsung membantutkan perkembangan sesebuah institusi itu.
Selain daripada itu, masalah kepimpinan kurang berteladan juga menyebabkan masyarakat yang dipimpin bangun  memberontak  untuk menegakkan fahaman masing-masing. Arahan pengurusan atau politik yang melanggar prosedur dan peraturan juga akan menyebabkan berlakunya kes salah laku. Hal ini secara tidak langsung mengajar masyarakat untuk melanggar dan menentang  prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya
Integriti adalah istilah menggambarkan pegangan nilai dan kayu pengukur kepada nilai diri yang kompeten, profesional, jujur dan amanah sama ada sebagi anggota masyarakat mahupun penjawat awam. Ia merupakan elemen penting dalam pembentukan sahsiah, etika, imej dan jati diri jika dibudayakan dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan negara.
Justeru itu, masyarakat harus belajar untuk  mengurus Integriti  dan mengambil berat sama ada tujuan atau niat dalam melakukan satu- satu perkara itu adalah berlandaskan cara atau kaedah yang betul. Maksud betul disini adalah mengikut ajaran agama dan mestilah mematuhi undang- undang . Jika semua orang melaksanakan kod ini dengan baik mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh agama dan masyarakat bertamadun, nescaya sebuah masyarakat atau negara itu akan maju dan bertamadun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan