Selamat Datang

Dialu-alukan memberi komen terhadap artikel di sini. Marilah kita bersama-sama memajukan agama, negara dan bangsa! Selamat membaca. :)

Rabu, 28 Mac 2012

ELEMEN- ELEMEN DALAM ISU-ISU SEMASA TAMADUN DUNIA - ELEMEN 5



Elemen 5 - Nilai (Akhlak)

Pendahuluan 

Menurut Mustafa Haji Daud (1999), akhlak merupakan satu daripada tiga bahagian utama wahyu daripada Allah s.w.t disamping akidah dan syarak. Akhlak itu berpusat di hati dan jiwa. Menurut Kamus Dewan (1986), moral merujuk kepada ajaran atau berkenaan buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan, kewajipan dan lain-lain), sikap atau cara berkelakuan yang berasaskan atau yang diukur dari baik buruk sesuatu akhlak. Nilai dan akhlak saling berkaitan antara satu sama lain. Negara yang mempunyai rakyatnya yang mengamalkan nilai-nilai akhlak yang baik sudah pasti akan membawa kepada kesejahteraan dan membina sebuah sebuah bangsa yang maju dan hidup harmoni. Dalam tajuk ini ia akan membincangkan isu semasa Tamadun Dunia dari konsep nilai. Perkembangan diri manusia yang menuju kepada kemajuan dan kemodenan telah menganggu perkembangan nilai yang lebih baik. Saban hari banyak kejadian yang meragut keselamatan, nyawa masayarakat dunia kerana manusia sekarang tidak mementingkan kesejahteraan yang pernah dibanggajan dahulu.

Pengertian Nilai

JULES HENRY (1975) 
- nilai ialah sebagai sesuatu yang dikira baik seperti kasih sayang, baik hati, kepuasan hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan, ketenangan  dan kesederhanaan.

SUTAN TAKDIR ALISJAHBANA (1974) 
- mengemukakan satu teori mengenai nilai, di mana nilai adalah satu unsuryang dapat mencerminkan perlakuan manusia. Nilai pemikiran merupakan unsur terpenting yang menentukan tindakan dan perlakuan manusia. Ini merupakan ciri asas yang membezakan manusia daripada makhluk-makhluk lain.

WILLIAM A.SCOUT  (1965) 
- menyamakan nilai dengan moral yang unggul. Beliau mentakrifkan nilai sebagai satu konsep individu tentang perhubungan yang unggul dan digunakan untuk menilai sesuatu kebaikan dan keburukan dan sesuatu kebenaran atau kesalahan tentang perhubungan yang sebenarnya yang dilihat atau dirasai.


Menurut Ghazali Darussalam ( 2001), terdapat 3 sumber nilai yang menjadi pegangan kepada manusia iaitu :

1. AGAMA
Terdapat 2 jenis agama yang dijadikan sumber nilai. Pertama ialah agama Islam. Di sini sumber nilai diambil daripada naqal yang berasaskan daripada wahyu Tuhan (al-Quran) dan hadith Rasulullah s.a.w. Nilai kehidupan yang di ambil daripada 2 sumber bersifat suci. Kedua ialah nilai-nilai yang diambil daripada agama wadi'e atau agama budaya yang diamalkan oleh masyarakat selain Islam seperti agama kristian, Hindu, Kahudi, Buddha, Sikh  dan lain-lain lagi.

2. AKAL
Akal berpunca daripada fikiran manusia yang  sihat melalui filsafat. Nilai-nilai yang diterima pakai oleh semua orang menurut rasional logika dianggap sesuatu perlakuan yang diterima. Biasanya bersumberkan daripada akal manusia yang bersifat sejagat dan disepakati oleh pelbagai bangsa, merentasi agama dan budaya.

3. PENGALAMAN
Perbuatan yang dilakukan berulang kali yang menjadi sebati dan berdarah daging dalam kehidupan. Biasanya diambil dari adat kebiasaan dan undang-undang masyarakat.


Fungsi Nilai di dalam Kehidupan Masyarakat

1.  Nilai adalah untuk mengawal dan mencorakkan pola tingkah laku.
2.  Nilai sebagai alat untuk mendapatkan pengertian atau makna hidup yang kompleks.
a. Hubungan personal- nilai sebagai satu panduan dan standard  bagi membuat pertimbangan penting di dalam kehidupan peribadi.
b. Hubungan antara personal- nilai member fungsi penting dari segi rapatnya  hubungan antara personel dengan seseorang yang lain. Ia juga membantu menentukan keadaan atau corak hubungan seseorang.
c. Hubungan kemasyarakatan- pengaruh dalam menentukan hubungan individu dengan masyarakat yang lebih besar, dan segala tingkah laku tidak dilakukan berasaskan emosi atau tanpa menggunakan akal fikiran.
3. Nilai berperanan sebagai skrin pengamatan dari segi menentukan corak dan fenomena sosial yang ditunjukkan oleh seseorang.
4. Nilai mempunyai pertalian dengan sikap.
5. Nilai sebagai proses sosialisasi.
6. Nilai juga mempengaruhi sikap, pegangan, prinsip dan falsafah hidup individu.
7. Nilai sebagai suatu kriteria membuat keputusan.
8. Nilai memberikan haluan kepada perubahan sosial.
9. Nilai mencerminkan norma masyarakat

Konsep nilai merupakan satu dimensi kepada moral untuk membezakan nilai moral dengan nilai-nilai lain. Maka boleh dikatakan nilai moral merupakan sejenis nilai yang baik dan terpuji dari segi moral yang diamalkan oleh individu, kumpulan atau masyarakat.

Manakala nilai-nilai yang lain iaitu nilai bukan moral seperti ekonomi atau estetika, adalah nilai yang tidak ada kaitan dengan nilai yang baik dari segi moral dan penting dalam hubungan sosial untuk menjamin kestabilan masyarakat dan kehidupan yang baik sesama manusia.


Isu-isu Berkait dengan Nilai

Daripada apa yang kita dengar, melihat dan membaca melalui media massa, kita dapati bahawa dunia kita masih mundur dalam aspek kerohanian (akhlak, hasad dengki), sosial(perpaduan), dan estetika (penghayatan keindahan alam). Perkara-perkara yang tidak diingini yang seperti berikut masih menjadi-jadi (Kamarudin Kachar : 1989)

1. Keruntuhan akhlak (kes rogol, khalwat, kezaliman terhadap kanak-kanak dan sebagainya) - saban hari kalau dilihat perkara-perkara diatas kerap sangat terjadi. Malahan ia sudah menjadi satu masalah yang paling utama di dalam masyarakat. Kalau dulu wanita dan kanak-kanak dilindungi tetapi perkara ini tidak terjadi lagi sekarang. Di dalam peperangan mereka ini merupakan golongan sasaran pihak musuh yang rakus untuk menunjukkan kekuasaan mereka menyebabkan ramai yang terkorban terutamanya dikalangan kanak-kanak dan wanita. Kes rogol, khalwat semakin menjadi-jadi. Bapa sangup menodai anak sendiri, terdapat juga manusia yang bertopengkan syaitan menjadikan sasaran kanak-kanak yang belum kenal erti kebahagian telah dibunuh dan dirogol dengan rakusnya. Siapa yang perlu dipersalahkan?

2. Kelemahan disiplin - Disiplin pelajar dan disiplin perkerja juga dilihat sebagai masalah. Ramai murid-murid yang kurang menitik beratkan pembelajaran dan hanya suka menghabiskan masa di sekitar kawasan yang sunyi dan mempunyai gejala social yang tinggi. Ia telah menjadi trend semasa kepada golongan pelajar dan remaja yang bakal mencorakkan masa depan dunia.

3. Ancaman dadah - Dadah merupakan musuh utama Negara. Hampir kesemua negara menjadikan dadah sebagai musuh utama. Ini kerana kesan apabila telah terjebak dengan dadah cukup tinggi. Ini amat membimbangkan masyarakat kerana golongan ini bukan hanya melebarkan sayap secara berkumpulan malahan menjadikan sasaran pelajar sebagai pengedar dadah bagi mengaburi pihak berkuasa tanpa mengira jantina dan latar belakang pelajar tersebut.

4. Pembaziran - masyarakat sentiasa dimomok-momokan dengan kemewahan dunia dan keglamoran. Ini telah mewujudkan masyarakat yang membazirkan wang ringgit, masa dan tenaga yang hanya untuk memuaskan hati masing-masing.

5.  Rasuah - Gejala rasuah sering melanda kepada golongan yang tamak dan tidak sabar mengecapi kesenangan. Pelbagai cara digunakan bagi melunaskan kepentingan diri sendiri sahaja. Ada kala rasuah mendorong kepada wujudnya kepincangan sesama manusia  kerana kemewahan yang diperolehi oleh orang lain disalahertikan.

6.  Salah guna kuasa

7.  Engkar janji

8.  Merosakkan harta orang lain

9.  Membuang sampah merata-rata

10. Ancaman Nuklear

11. Perebutan kuasa

Semua pihak perlu bertanggung jawab dengan kejadian-kejadian yang berlaku dengan cara menanamkan beberapa sikap positif seperti kasih sayang, semangat bantu- membantu, semangat bertanggungjawab dan semangat mahu maju negara yang maju membantu negara yang masih mundur. Tidak ada tindas menindas untuk menunjukkan kekuatan, sentiasa mengadakan perbincangan dalam kesatuan-kesatuan yang ada serta hilangkan kepentingan diri sendiri . Nilai-nilai dalam Islam perlu jelas untuk menghapuskan gejala-gejala yang tidak diingini dan merosakkan jiwa. Islam memang bencikan keruntuhan akhlak dan inginkan perubahan serta kemajuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan